Bahaya Jantung Terhenti Tiba-tiba
Oleh Ummi Nadiah Rosli
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Para peminat bola sepak Liga Portugis
di Guimares teruja apabila kelab bola sepak Lisbon, Benfica, mendahului
lawannya Vitoria S.C 1-0.
Dalam perlawanan yang juga disiarkan secara langsung di televisyen pada
25 Jan, 2004, pemain Benfica, Miklos Feher menerima kad kuning semasa
waktu kecederaan.
Semasa semua kamera menumpukan perhatian kepada pemain Hungary ini di
padang dengan tiba-tiba beliau menunduk ke depan, wajahnya berkernyut
kerana kesakitan dan beliau terus rebah di atas padang.
Perlawanan itu terhenti dengan rakan-rakan Feher meluru ke arahnya untuk
membantu dan kakitangan perubatan juga mula mengerumuni striker itu dan
melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). Rakan-rakannya di padang
itu begitu terkejut. Tidak lama kemudian diumumkan bahawa Feher, pada
usia 24 tahun, mati kerana 'cardiac arrhythmia', iaitu fungsi jantung
terhenti dengan tiba-tiba (SCA).
Kematian mengejut Feher, yang sebelum itu kelihatan begitu sihat bukan
kes terpencil. SCA berlaku apabila jantung terhenti tiba-tiba, dan
merupakan antara punca kematian paling lazim di negara-negara maju.
Ia merupakan satu masalah perubatan dengan 350,000 kematian setiap tahun
di Eropah dan menjejaskan lebih 400,000 orang di Amerika Syarikat, dan
mewakili 63 peratus daripada kesemua kematian yang berkaitan dengan
jantung di Amerika Syarikat.
Dan menurut Dr Razali Omar - Pengarah Unit Elektrofisiologi &
Perentakan, Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, SCA membawa ancaman
besar kepada semua.
BUKAN SERANGAN JANTUNG
Di sebalik tanggapan lazim, Dr Omar menunjukkan perbezaan penting antara SCA dan penyakit kardiovaskular lain.
"SCA BUKAN serangan jantung, yang dilihat sebagai masalah saluran darah
tersumbat yang seterusnya menghalang aliran darah ke seluruh badan.
Kekurangan darah menyebabkan otot jantung dan tisu granulasi (scar
tissue) mengalami kerosakan kekal.
"Arrhythmia di sebaliknya berlaku kerana kepincangan sistem elektrik
jantung. Jantung mempunyai sistem elektrik yang terbina di dalamnya, dan
jika jantung itu tidak dikenakan kejutan elektrik dalam tempoh beberapa
minit, kematian akan berlaku, dan hanya 10 hingga 20 peratus daripada
mereka yang mengalami SCA terselamat," katanya.
Beliau menambah kata dalam sebuah jantung yang sihat perentak
(pace-maker) semulajadi menyebabkan denyutan jantung, kemudian impuls
elektrik melalui laluan tertentu dalam jantung, dan seterusnya
menyebabkan jantung mengecut secara berkala untuk mengepam darah.
SCA berlaku apabila isyarat elektrik yang mengawal denyutan jantung terlewat atau terhalang.
IRITMA
Kegagalan fungsi jantung lazimnya berlaku kerana otot jantung rosak atau
sudah regang, yang seringkali menjejaskan fungsi sistem elektrik yang
mengawal pemasaan biasa denyutan jantung.
Apabila tubuh menyedari yang jantung gagal mengepam jumlah darah normal,
jantung akan cuba percepat aktiviti mengepam untuk memampas kekurangan
yang berlaku. Otot jantung yang rosak boleh menyebabkan denyutan jantung
bertambah perlahan (bradycaria) atau bertambah cepat (tachycardia) atau
tidak lagi secara berkala. Oleh itu, bukanlah luarbiasa untuk melihat
pesakit jantung untuk mengalami SCA.
Lagipun, punca paling lazim serangan jantung dalam bentuk 'arrhythmia'
dikenali sebagai 'ventricular fibrillation' (VF). Dalam VF, isyarat
elektrik yang mengawal fungsi pam jantung bertambah cepat dan tidak lagi
terkawal. Oleh sebab itu, ruang di bahagian bawah jantung iaitu
ventrikel, mula bergegar (fibrilisasi) di sebalik mengecut.
Ini menyebabkan darah tidak lagi dapat dipam ke seluruh tubuh, yang
memutuskan bekalan oksigen ke otak dan menyebabkan orang yang terbabit
tidak sedarkan diri. Selagi tidak dikenakan kejutan segera untuk
mengembalikan ritma berkala (menggunakan mesin yang dikenali sebagai
defibrillator), kematian boleh berlaku dalam beberapa minit.
PEMBUNUH SENYAP
Bukan seperti kebanyakan masalah jantung yang boleh dikenalpasti melalui
simptom-simptom lazim, SCA merupakan pembunuh senyap. Saringan fizikal
atau kecergasan lazimnya tidak dapat mengesan ciri-ciri yang boleh
menyebabkan SCA, oleh itu ia juga boleh berlaku kepada individu yang
sihat dan aktif tanpa sebarang rekod penyakit jantung.
Tetapi Dr Omar menjelaskan bahawa SCA bukanlah kejadian rambang dan
kebanyakan mangsa tidak menunjukkan komplikasi berhubung kesihatan atau
jantung mereka, walaupun mereka mungkin tidak mengetahuinya.
Beliau berkata apa-apa masalah jantung yang menjejaskan sistem elektrik
jantung boleh menyebabkan 'arrhythmia'. Ini termasuk tabiat merokok,
pengambilan alkohol secara berlebihan, penggunaan dadah tertentu dan
sehinggakan tekanan emosi.
"Sebanyak 80 peratus daripada pesakit arteri koronari (keadaan di mana
arteri yang membekalkan darah bertambah sempit atau tersumbat), 15
peratus daripada mereka dengan otot jantung berpenyakit dan 5 peratus
daripada mereka dengan penyakit sel jantung menghadapi risiko tinggi
terhadap penyakit ini. Sebanyak 75 peratus daripada mereka yang mati
kerana SCA menunjukkan tanda-tanda serangan jantung pernah berlaku
sebelumnya."
Dan tanpa sebarang amaran awal, 95 peratus daripada kesemua mangsa SCA
akan mati di tempat kejadian, dan di Amerika Syarikat lebih 70 peratus
daripada mangsa VF mati sebelum sempat sampai di hospital.
KEJUTAN PENYELAMAT
Melihatkan ketiadaan simptom, pencegahan merupakan pilihan berkesan dalam mengurangkan statistik bagi kematian SCA.
Terdapat beberapa pilihan, kata Dr Omar, antaranya ialah 'automatic
external defibrillator (AED)' yang merupakan sebuah peranti elektronik
bimbit yang menghentikan 'arrhythmia' dengan mengejutkan jantung. Ada
negara yang menyediakan AED bagi kegunaan awam, khasnya di tempat-tempat
awam seperti taman, sekolah dan pusat sukan.
Cardioverter defibrillators (ICD) yang boleh diimplan, sangat berkesan
dalam mencegah SCD bagi mereka yang berisiko tinggi. ICD yang
ditempatkan di bawah kulit, memantau jantung untuk mengesan apa-apa
ritma luar biasa dan menyampaikan kejutan elektrik untuk mengembalikan
ritma jantung. Ia juga boleh berfungsi sebagai perentak jika jantung
berdenyut terlalu perlahan.
Bagi kegagalan jantung kongestif yang disebabkan oleh komplikasi
berkaitan otot jantung, terapi penyerantakan semula kardiak digunakan.
Terapi ini menggunakan sebuah perentak khusus untuk menyelaras semula
fungsi ventrikel kiri dan kanan pesakit yang mengalami kegagalan
jantung.
PERLU BELAJAR CPR
Setiap saat penuh bermakna bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami SCA.
Sementara lebih 70 peratus daripada semua mangsa serangan jantung
diselamatkan oleh 'defibrillator', Dr Omar menasihatkan supaya setiap
orang belajar CPR yang boleh membantu jika tiada defibrilator
berdekatan.
"Sudah pasti, CPR boleh menyelamatkan nyawa, dan penting untuk
mengekalkan integriti otak bagi mangsa-mangsa SCA. Tidak kira anda
pelajar sekolah atau warga emas, CPR harus dipelajari oleh semua. SCA
boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja."
Dengan demografi pesakit pada Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular
Kebangsaan menunjukkan bahawa usia minimum bagi kegagalan jantung di
negara ini ialah 18 tahun dan yang tertua ialah 100 tahun, adalah wajar
kita memberi perhatian kepada masalah ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment